Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, setakat hari ini, tidak ada satu kempen boikot produk bukan Islam yang dilancarkan oleh Pas.

“Pas meminta Menteri Kewangan berhenti memainkan sentimen perkauman sempit dan menghormati pilihan bebas pengguna Muslim.

“Setiap pengguna mempunyai kecenderungan untuk memilih yang terbaik untuk diri mereka. Tidak ada satu paksaan. Lantaran itu, mereka lebih berhati-hati dan bersifat selektif untuk mendapatkan produk yang terbaik,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik portal Harakah Daily hari ini.

Semalam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyeru Pas dan UMNO supaya membantu menghentikan gerakan memboikot produk bukan Islam kerana tindakan itu tidak menguntungkan dan boleh menggugat perpaduan negara.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas juga menggesa kerajaan memantau dan menyekat lambakan produk mengelirukan pengguna seperti menggunakan nama, gambar produk dan logo mirip Islam tetapi dihasilkan oleh bukan Islam.

Tambah beliau, terdapat juga penipuan logo halal serta pengeksploitasian wanita dan kanak-kanak dalam pengiklanan.

“Pihak kerajaan hendaklah lebih memfokuskan kepada aktiviti tidak bermoral dalam perniagaan seperti penipuan, monopoli, permainan harga dan ‘black economy’.

“Hal ini lebih serius dan boleh meranapkan pasaran sehingga memberi kesan besar ke atas pengguna. Tambahan pula, harga barang secara umumnya tidak menunjukkan penurunan walaupun setelah SST (cukai jualan dan perkhidmatan) diperkenalkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE