Ahli Parlimen Gelang Patah itu sebaliknya mengarahkan peguam­nya mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia dan akhbar terbitan New Straits Times Press Bhd. (NSTP) yang melaporkan isu berkenaan.

Tindakan itu dilihat janggal memandangkan laporan berkenaan yang disiarkan Utusan Malaysia dan NSTP adalah memetik Tunku Abdul Aziz sebagai sumber.

Ditanya mengenai perkara itu, Kit Siang dalam sidang akhbarnya di sini hari ini berkata, tindakan tersebut memandangkan beliau tidak mahu membuang masa memberi perhatian kepada apa yang dikatakan Tunku Abdul Aziz.

“Sebelum ini ada wartawan bertanya kepada saya mengenai perkara ini dan apabila diberitahu kenyataan itu dibuat Tunku Abdul Aziz, saya katakan saya tidak mahu membuang masa untuk mengambil tahu apa yang dikatakan beliau,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Abdul Aziz mendakwa wujud pakatan sulit antara Dr. Mahathir dan Kit Siang berhubung siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dakwa Tunku Abdul Aziz, tanpa pengetahuan parti sekutu lain terutama PKR, kedua-dua pe­mimpin itu membuat perjanjian rahsia melantik Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri manakala Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Malah, Tunku Abdul Aziz kelmarin turut mencabar Kit Siang membuat akuan bersumpah bagi menafikan beliau ingin menjadi Timbalan Perdana Menteri seperti didakwa.

“Samanlah saya selepas mereka membuat akuan bersumpah tersebut. Itu hak mereka sekiranya mereka ingin berbuat demikian,” katanya.