Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Marzuki Yahya berkata,

paksaan atau gesaan supaya Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mempercepatkan peralihan kuasa hanya memberi kesan negatif kepada kerajaan untuk menstruktur semula perancangan ekonomi dan pentadbiran dalam menuju sebuah negara maju.

“Otai reformis perlu berfikiran matang dan bersikap terbuka dalam peralihan kuasa Perdana Menteri kerana proses terbabit perlu diambil mengikut situasi semasa.

“Fahami apa itu reformasi yang bukan hanya sekadar untuk memperjuangkan individu tertentu. Malah, istilah `reformasi’ itu sendiri tidak sama dengan laungan reformasi dua dekad lalu.

“Sebaliknya Otai Reformis perlu mendukung usaha kerajaan yang kini sebaik mungkin berusaha membangunkan sebuah pentadbiran yang bersih. Harus dihormati kepada kerajaan yang dipilih oleh kuasa rakyat dan memberi mandat kepimpinan kepada Dr. Mahathir,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dr. Mahathir sebelum ini berkata, beliau tetap akan melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaras dengan persetujuan bersama kepemimpinan Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Anwar juga sendiri menyatakan pendirian tidak mahu mendesak Dr. Mahathir dalam isu itu, malah memberi ruang dan masa kepada Perdana Menteri untuk terus menstabilkan ekonomi serta membangunkan negara ini. - UTUSAN ONLINE