Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md. Alwi Che Mat berkata, sikap Manogaran itu seolah-olah akan memberikan ancaman kepada kedudukan Islam apabila beliau berpeluang bersuara di Parlimen dan mungkin mempengaruhi Kerajaan Pusat. 

Beliau berkata, perkara ini jelas kerana pemimpin DAP itu telah mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. 

"Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh The Nut Graph (9 Februari 2010), Manogaran menyebut tiada di mana-mana tempat dalam Perlembagaan negara yang menyebut bahawa agama Islam adalah lebih penting atau lebih istimewa daripada agama-agama lain.

"Bagaimana beliau sebagai seorang peguam yang sepatutnya mempunyai pengetahuan undang-undang asas negara boleh mendakwa begini jika beliau tiada agenda serong kerana banyak tempat dalam perlembagaan negara yang menyebut begini," katanya dalam hantaran ke laman Facebook di sini hari ini. 

Md. Alwi yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata, lebih jauh lagi, Manogaran juga wajib ditolak oleh orang-orang Melayu Islam dalam PH kerana beliau terang-terang mempertikaikan kedudukan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

"Dalam tulisannya yang disiarkan oleh Malay Mail Online, Manogaran menyebut Dr. Mahathir hanya bersuara mengenai hak asasi bila melibatkan orang-orang Islam tetapi tidak bersuara bila ia melibatkan orang-orang bukan Islam. 

"Manogaran bertanya apakah Dr. Mahathir Perdana Menteri untuk Malaysia atau hanya untuk orang-orang Melayu dan orang-orang Islam. Malah, beliau juga berkata adalah agak jelas bahawa Tun sudah menjadi “blur”," katanya. 

Tambahnya, pemimpin yang tidak menghormati ketua dan peruntukan asas Perlembagaan seperti kedudukan agama Islam beginikah yang mahu dijadikan sebagai Ahli Parlimen oleh orang-orang Melayu Islam dalam PH. - UTUSAN ONLINE