Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi catatan mindanya memberitahu, adalah tidak adil jika penindasan terhadap umat Islam terus dilakukan sekali gus melanggar konsep hak asasi manusia.

Menurutnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa untuk mengadakan pungutan suara secara demokratik bagi menangani krisis khususnya melibatkan wilayah Kashmir, Pakistan dan India.

“Malangnya dunia yang dikatakan moden ini sentiasa tidak berpihak kepada umat Islam di mana-mana sahaja dan umat Islam terus dijadikan mangsa kezaliman yang tidak dibela oleh masyarakat antarabangsa seperti juga di Palestin, Rohingya dan Uyghur.

“Kita mengharapkan kerjasama OIC dapat berfungsi bagi membela nasib umat Islam di tengah masyarakat antarabangsa secara adil dan menghormati konsep hak asasi manusia yang meninggalkan era kolonialisme bagi menangani krisis yang berpanjangan ini.

“Namun umat Islam menjadi laksana sampah sarap dan buih yang tidak bermaya dihanyutkan arus diskriminasi yang terus menerus,” katanya di sini hari ini.

Konfrontasi Pakistan-India dilihat bertambah buruk dengan Islamabad mendakwa menembak jatuh dua pesawat tempur India hari ini, sehari selepas New Delhi melancarkan serangan udara di wilayah pertikaian Kashmir sejak bulan lalu. - UTUSAN ONLINE