Najwan malah menegaskan, dakwaan mengatakan beliau terlibat dalam skandal video seks membabitkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang yang dikatakan mirip menteri kanan Kabinet itu merupakan permainan minda dalam media sosial.

“Ini tidak berasas, ini adalah permainan minda di media sosial yang bertujuan untuk mengancam PKR dan mewujudkan perpecahan,” katanya seperti dipetik Malaysiakini ketika menghadiri Majlis Temu Rapat PKR Pusat di Port Dickson, malam semalam.

Najwan didakwa menjadi satu daripada perancang dalam skandal video seks itu susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa polis akan menyiasat setiap aspek termasuk pembabitan ADUN yang didakwa mendalangi penyebaran video seks itu.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak turut ditahan reman selama empat hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung penyebaran video tersebut.

Dalam pada itu, Najwan berpendapat skandal seks yang didakwa membabitkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu tidak sepatutnya dikaitkan dengan sokongan dan pemilihan dalam parti.

Najwan sebelum ini dikatakan bersama ‘kem Mohamed Azmin’ dalam PKR tetapi membuat keputusan berundur dan bertanding sebagai ‘kuasa ketiga’ dalam pemilihan AMK, hujung tahun lalu.

“Sesiapa sahaja boleh sokong sesiapa dan apa yang berlaku sekarang tidak harus dikaitkan dengan kempen semasa pemilihan parti.

“PKR mesti bergerak ke hadapan dengan menolak politik kotor dan memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya. - UTUSAN ONLINE