Bekas Perdana Menteri itu turut melemparkan persoalan iaitu sejak setahun lalu, pihak mana yang lebih banyak turun padang dan menggerakkan semula sokongan rakyat kepada UMNO dan BN.

“Adakah mereka (pihak) yang melemparkan kritikan (mempersoalkan pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN) atau pihak lain. Siapa yang lebih banyak membuat teguran melalui hantaran di laman-laman sosial terhadap kerajaan.

“Itulah ukuran (sumbangan) yang perlu kita terima dan bukannya mendengar pendapat hanya satu atau dua pihak sahaja, lebih-lebih lagi keputusan (pelantikan) telah dibuat dalam Dewan Tertinggi Majlis Tertinggi UMNO secara sebulat suara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program majlis santai petang bersama Bossku yang dihadiri kira-kira 500 ahli UMNO dan BN di Pulau Kijang, hari ini.

Najib diminta mengulas mengenai reaksi bercampur baur khususnya akar umbi UMNO yang kurang selesa mengenai pelantikan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mengenai dakwaan Ahli Parlimen Pekan itu sebagai punca kekalahan BN semasa PRU-14 sebagai asas untuk menolak pelantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN, beliau berkata, terdapat pelbagai pandangan mengenai perkara itu.

“Kalau melihat pandangan Nik Abduh Nik Abdul Aziz (Ahli Parlimen Bachok), PH menang kerana fitnah. Kita perlu bergerak ke hadapan dan bangkit daripada kekalahan.

“Jika mengambil kira parti kerajaan pula, Penasihat DAP, Lim Kit Siang patut meletakkan jawatan kerana lebih 10 kali kalah dalam pilihan raya umum tetapi tidak berbuat demikian,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas reaksi pemimpin UMNO yang tidak bersetuju kemasukan semula Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Najib berkata, ia tidak menggambarkan suara majoriti.

“Walaupun suara mereka (pemimpin tidak bersetuju) mendapat liputan meluas di media-media sosial, tetapi itu bukanlah ukurannya kerana ia mesti berdasarkan Perlembagaan parti,” katanya lagi.

Beliau turut menolak andaian bahawa berlaku perpecahan dalam UMNO berikutan pandangan berbeza oleh beberapa orang pemimpin parti itu kerana perbezaan idea adalah perkara biasa.

Katanya, sebaliknya apa yang lebih penting wadah perjuangan parti dapat diteruskan.

“Saya percaya kemasukan Ahmad Zahid akan memperkukuhkan kepimpinan UMNO untuk terus berjuang sebagai parti pembangkang membawa auara rakyat dan memberi pandangan serta teguran kepada PH,” katanya. - UTUSAN ONLINE