Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, biarpun bersaing dan berbeza pendapat dengan kerajaan, Pas juga tidak secara semborono menyerang tetapi mengamalkan prinsip tabayun sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Beliau berkata, perubahan yang ditunjukkan oleh Pas pada masa kini terutama apabila sanggup bekerjasama dengan kerajaan yang ditunjangi UMNO memberi banyak manfaat kepada rakyat.

“Dalam hal ini saya mengucapkan terima kasih (kepada Pas), kita bersaing tetapi pimpinan Pas hari ini tidak macam dulu. Pimpinan Pas hari ini lebih matang berpolitik, mereka tolak kerjasama atau tahaluf siyasi dengan DAP.

“Mereka percaya kepada ta’a­wun iaitu kerjasama untuk kebaikan. Dan kita bekerjasama dalam banyak perkara, seperti dalam isu Rohingya dan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau (RUU 355).

“Dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mereka (Pas) mengamalkan tabayun, mereka siasat dahulu, panggil Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dengar penjelasan dan Presiden Pas kata mereka percaya pelan pemulihan 1MDB akan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang, di sini pagi ini.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai apakah akan wujud kerjasama politik antara Pas de­ngan UMNO, Najib yang juga Presiden UMNO berkata, masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai perkara tersebut.

“Tak tau lagi, tengok kepada keadaan, yang penting kita mengamalkan politik matang dan konstruktif,” katanya sambil tersenyum.