Bagaimanapun kata Perdana Menteri, tanah tersebut bukan sekadar menjadi tanah rizab semata-mata sebaliknya perlu dibangun dan dimajukan.

“Saya minta semua undang-undang yang perlu dipinda dibuat pindaan supaya tanah-tanah rizab Melayu ini boleh dibangunkan dengan nilai yang menguntungkan pemilik-pemiliknya,’’ katanya.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Isu tanah rizab Melayu menjadi perhatian perwakilan dalam perhimpunan itu berikutan pendedahan Utusan Malaysia pada 17 September lalu.

Laporan ekslusif tersebut mendedahkan sejak dikuatkuasakan pada 1 Januari 1914, tanah rizab Melayu tidak pernah mencapai sasaran 50 peratus daripada jumlah keseluruhan tanah di Semenanjung Malaysia, sebaliknya hanya tinggal kira-kira 12 peratus sahaja.

Perdana Menteri seterusnya menegaskan, pindaan undang-undang itu dilakukan kerana terdapat kesukaran dari segi perundangan bagi membolehkan pinjaman diberikan bagi memajukan tanah-tanah tersebut.

“Satu jawatankuasa telah ditubuhkan dan laporannya telah disediakan berhubung perkara itu. Kita tidak boleh berbangga dengan jumlah tanah tetapi yang penting memberi pulangan kepada pemilik tanah rizab tersebut,’’ katanya.