Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, sebaliknya majlis itu telah menasihat Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui 18 nasihat yang telah digariskan beserta dengan ulasan dan nasihat tambahan daripada pelbagai pihak.

Katanya, antara pihak tersebut adalah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Kerajaan negeri juga dinasihatkan untuk terus mengadakan perundingan bersama masyarakat setempat dan rakyat yang akan terkesan daripada pembangunan ini dan memastikan keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya.

“Suka juga diingatkan bahawa permohonan ini perlu mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) daripada agensi yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, Khalid berkata, memandangkan permohonan yang dikemukakan ini berbentuk pelan induk, ia perlu dikemukakan semula untuk mendapatkan nasihat majlis di bawah subseksyen 22(2A) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan PSR seluas 2,600 hektar bagi membentuk tiga pulau buatan yang akan digunakan untuk membiayai pelbagai projek dirangka menerusi Pelan Induk Pengangkutan (PIP) termasuk terowong dasar laut dan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT).

Pengumuman itu menerima bantahan Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang menyifatkan projek itu hanya menguntungkan para pemaju serta pihak bank namun tidak ada sebarang kebaikan diperoleh rakyat. - UTUSAN ONLINE

habis