Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penyatuan UMNO-Pas amat perlu dilaksanakan segera demi kepentingan bangsa Melayu yang kini berdepan dengan pelbagai cabaran.

Katanya, dalam mesyuarat itu Pas menyenaraikan 11 orang wakilnya diketuai Timbalan Presiden parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden, Idris Ahmad; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan, Nasrudin Hassan serta wakil Dewan Ulama dan juga sayap parti berkenaan.

"Apa yang membanggakan apabila melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih lalu, jentera sayap UMNO-Pas telah memperlihatkan gabungan kerjasama baik dengan bergerak seiring berkempen dari rumah ke rumah dan juga makan bersama.

"Begitu juga dengan perubahan dalam kalangan anak muda yang sangat luar biasa kerana 95 peratus saluran muda melibatkan 23 pusat daerah mengundi (PDM) di DUN Semenyih UMNO menang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan program Ziarah Pergerakan Pemuda UMNO ke rumah bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Marang, Datuk Tengku Zainuddin Tengku Zahid di sini, pagi ini.

Yang hadir sama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Marang, Zul Fadli Rozi dan juga Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku. - UTUSAN ONLINE