Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, atas sebab itu mesyuarat tersebut khusus untuk ahli-ahli sahaja dan pemberita dinasihatkan supaya menemu bual sebelum atau selepas berlangsungnya majlis.

“Mesyuarat UMNO mesyuarat tertutup. Kadang-kadang pemberita tak berapa faham mereka tulis berita ucapan perasmian, boleh menyebabkan salah anggap dan keterlaluan.

“Sedangkan dalam parti lain seperti MCA dan DAP pun ucapan mereka keras tapi pemberita tak faham, maka tak tulis,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Mesyuarat Pewakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani dan Timbalan Yang Dipertua Pas Lembah Pantai, Fauzi Abu Bakar.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera memberitahu, sepatutnya pengerusi majlis mesyuarat tersebut menjelaskan mengenai situasi berkenaan dan meminta kerjasama daripada para pemberita.

“Tapi itulah, kamu pun tahu. Ada pengerusi majlis yang berpengalaman dan ada juga yang baharu tapi saya tak pasti berkenaan hal tadi kerana mesyuarat bahagian Lembah Pantai, saya hanya menyempurnakan,” katanya.

Terdahulu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam kenyataan mengecam keras tindakan pengerusi majlis mesyuarat tersebut yang membuat pengumuman ‘persidangan orang Melayu’ dan hanya orang Melayu sahaja dibenarkan untuk membuat liputan. - UTUSAN ONLINE