Kenyataan itu dibuat ketika Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berucap dalam program perjumpaan bersama warga Sungai Koyan di Lipis hari ini.

Kenyataan Mahathir itu membawa maksud tersirat ekoran isu pemimpin PH menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan negeri merupakan antara isu panas dalam PRK Parlimen Cameron Highlands kerana penyalahgunaan aset kerajaan dan pelanggaran peraturan pilihan raya.

Kalau Perdana Menteri sendiri terpaksa menyewa helikopter adakah pemimpin lain termasuklah menteri, timbalan menteri dihalalkan pula menggunakan jentera kerajaan.

Mesej Dr. Mahathir dalam isu penyalahgunaan aset kerajaan dan pelanggaran peraturan pilihan raya jelas iaitu undang-undang itu bukan sahaja dikenakan kepada parti lawan malah parti kerajaan pun dikenakan undang-undang yang sama.

“Umpamanya saya tidak dibenarkan pakai kapal terbang RMAF (Tentera Udara Diraja Malaysia) yang kerajaan punya, (maka) kenalah sewa helikopter swasta punya. Kalau pakai helikopter kerajaan maka salahlah,” ujarnya.

Esok akan berlangsung pengundian PRK Parlimen Cameron Highlands.

Kalau BN mengekalkan kerusi itu mungkin suasana kembali seperti biasa bagi menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tapi kalau BN kalah, mungkinkah PRK sekali lagi dituntut kerana seperti mana kata Dr. Mahathir undang-undang bukan sahaja kepada parti lawan?.

Bukti video ada, laporan polis pun ada, apakah ini bermakna tindakan perlu dikenakan oleh pihak berkuasa ekoran kes penggunaan aset kerajaan oleh pemimpin PH?

Tunggu dan lihat apa keputusannya esok, tetapi difahamkan BN telah bersedia dengan draf petisyen. - UTUSAN ONLINE