Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, tuduhan dilemparkan itu harus diketepikan kerana apa diusahakan itu adalah kesatuan umat yang akan memberi manfaat secara menyeluruh.

"Tohmahan yang mengatakan bahawa ini adalah perhimpunan rasis, perkauman dan lain-lain adalah tidak betul. Apa yang perkaumannya dengan perhimpunan seperti itu.

"Perhimpunan ini semata-mata menyatupadukan orang Melayu Islam dan itu dituntut oleh Allah SWT supaya bersatu padu. Apakah kita mengikut apa dituntut oleh Allah dan ajaran Islam itu boleh dianggap sebagai rasis," katanya seperti dipetik portal UMNO Online.

Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2.0 di Dataran Dewan Besar Pekan Rabu, Sungai Manik kawasan Parlimen Pasir Salak bakal menghimpunkan 50,000 orang dengan dukungan penuh dari UMNO dan Pas.

Tajudin turut mengingatkan tohmahan yang dilontarkan perlu diketepikan, sebaliknya terus sama berusaha memastikan kejayaan ummah.

"Jadi, mereka rasa bimbang dan takut menggagalkan kesatuan ini dengan membuat pelbagai tuduhan..Kita jangan ambil peduli dengan tuduhan seperti itu. Tuduhan daripada musuh-musuh yang tidak mahu melihat kejayaan dalam soal ini," ujarnya. - UTUSAN ONLINE