Apa yang berlaku itu memang melucukan. Tetapi ia sesuatu yang perlu dirisaukan berhubung komitmen dan kesepakatan anggota kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menentukan dasar-dasar serta keputusan penting negara.

Apabila disindir atau kena ‘troll’ dengan pemimpin Barisan Nasional (BN), anggota kerajaan PH akan menuduh pembangkang sengaja mahu mencetuskan isu untuk lari daripada hal ehwal yang menghantui pentadbiran terdahulu.

Namun malangnya, dalam keghairahan membongkarkan tindak-tanduk kerajaan BN, PH sendiri dilihat gagal mempamerkan kecekapan dalam urus tadbir kerajaan.

Percanggahan kenyataan sesama menteri PH ini bukan baharu. Jika ditegur ada yang bangga menganggap perbezaan pendapat itu sebagai proses demokrasi.

Bagi pemerhati politik, jika Mohamed Azmin dan Guan Eng masih berjawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri, perbezaan yang diperkatakan mereka mungkin tidak memberi impak besar.

Namun, apabila kedua-dua mereka itu kini memegang portfolio terpenting negara yang mengawal selia ekonomi bersaiz ratusan bi­lion ringgit, setiap kenya­taan akan menjadi pertimbangan para pelabur.

Barangkali apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri ‘gemar’ bercakap tidak tahu, ia membuatkan Mohamed Azmin dan Guan Eng terpi­nga-pinga mengenai sesuatu keputusan kerajaan.

Menjawab tidak tahu itu adalah satu daripada seni politik untuk membiarkan orang lain membuat kenya­taan dan seterusnya menjadi ‘kambing hitam’ untuk dipersalahkan.

Tidak pasti pula sama ada Mohamed Azmin dan Guan Eng sendiri mempunyai masalah komunikasi.

Sudahlah masih ramai yang keliru dengan portfolio kedua-dua kementerian itu, dengan kenyataan berbeza ini, pastinya lebih mengelirukan. Yang mana satu betul?

Hendak kata tidak berpengalaman, nanti marah. Katanya pernah menerajui Selangor dan Pulau Pinang dengan penuh kejayaan.

Perlu diingat, apa yang terkeluar daripada mulut mereka itu boleh menggangu emosi rakyat, terutama mereka yang menerima kesan langsung daripada setiap projek dan dasar-dasar kerajaan yang dilaksanakan.