Bagaikan ‘bidan terjun’, kehadiran Bersatu seperti menjadi pelengkap kepada kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk membentuk sebuah kerajaan.

Ini kerana sejak penubuhannya pada 2016 yang lalu, parti itu masih dilihat pasif dan tidak mendepani isu-isu membabitkan Melayu, bumiputera dan Islam. Sepatutnya, Bersatu perlu menggantikan pe­ranan seterunya, UMNO yang memerintah negara selama 61 tahun.

Malah, parti berkenaan diibaratkan hilang suara berban­ding dua parti dari rakan sekutunya iaitu DAP dan PKR yang dilihat lebih berani, bijak dalam membuat percaturan politik dan lebih dominan dalam melontarkan pandangan untuk menentukan keputusan.

Namun, sampai bila keada­an ini akan berterusan? Ja­nganlah berdiam diri sehingga lima tahun lagi.

Orang Melayu di seluruh negara kini tertanya-tanya mengenai peranan dan agen­da Bersatu termasuklah penyokong-penyokong tegar Ber­satu sendiri. Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan hala tuju orang Melayu dan bumiputera terus terbela dan terarah selain kedudukan Islam tetap dipelihara seperti mana yang dilakukan oleh parti UMNO.

Perlu diingatkan, dalam Bersatu sendiri, masih wujud ‘DNA UMNO’ yang membawa citra perjuangan Melayu, bumiputera dan Islam. Malah, saya amat yakin, dalam diri Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pun, masih wujud dan kuat ‘DNA UMNO’ tersebut untuk diterjemahkan dalam agenda Bersatu seterusnya.

Sehubungan itu, bersempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini (Jumaat) dengan kehadiran kira-kira 1,550 perwakilan da­ripada 135 bahagian Bersatu seluruh negara, ia merupakan masa yang tepat untuk Bersatu menterjemahkan agenda-agenda Melayu, bumiputera dan Islamnya.

Berhimpunlah, berbincang­lah dan berdebatlah...apa yang penting, orang Melayu ternanti-nanti agenda Melayu dan Islam yang ingin dibawa Bersatu.

Jangan nanti, perhimpunan itu hanya menjadi medan tempur serta penuh dengan cakap-cakap kosong dan asalkan jangan sampai ‘menang sorak, kampung tergadai!’.