Namun jangan pula celopar memperlekeh pengundi Melayu terikat dengan politik perkauman seperti segelintir komen dalam media sosial, termasuk tweet seorang pe­mimpin PH sendiri. Sebalik­nya fahami dengan mendalam kenapa BN jadi pilihan.

Justeru, ada yang melihat kekalahan PH di Semenyih satu peluang terhidang untuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan perubahan. Apa perubahan? Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu pastinya sangat arif hal ini.

Dahulu atau sekarang, Cameron Highlands atau Semenyih, orang Melayu tetap sama. Bila perlu, mereka sedia tunjukkan resah. Ini yang harus diberi perhatian rakan kongsi Dr. Mahathir dalam PH iaitu PKR, DAP mahu pun Parti Amanah Negara (Amanah).

Jangan dinafikan orang Melayu sangat sensitif kepada soal agama dan kedudukan bangsa. Peredaran masa tidak pernah mengubah sikap mereka dan oleh itu, pendekatan kerajaan harus peka dan selari dengan sentimen orang Melayu.

Mereka boleh menerima Malaysia baharu, mana yang baik sama-sama diraikan cuma bagi orang Melayu, ada perkara yang tetap tidak boleh diubah. Fahami sensitiviti ini.

Justeru, pemimpin komponen PH harus tahu memposisikan diri. Jika yang patut di belakang makin ke depan, mungkin makin berkurang sokongan orang Melayu kepada PH berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Dalam hal ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pantas menyahut dengan kenyata­annya yang kerajaan Pusat tidak akan apologetik dalam melaksanakan agenda Mela­yu susulan kekalahan di Semenyih.

Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP, Ronnie Liu pula bingkas bersuara mengingatkan PH agar tidak menjadi ‘lebih Melayu daripada UMNO-Pas’. Bagaikan siaran ulangan.

Sedangkan jika jalan cerita yang sama seperti ditunjukkan Ronnie setiap kali ada pemimpin PH bersuara soal agenda Melayu atau Islam berulang, maka UMNO-Pas akan meneruskan kemaraan. Justeru, bersediakah rakan kongsi Dr. Mahathir dalam PH membuat dan menerima perubahan?