Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebaliknya Pas berjuang mengikut undang-undang dan Perlembagaan sekali gus meletakkan Islam agama rasmi Persekutuan.

Sedangkan lain-lain tanggapan pada Pas, jelas beliau hanya retorik dan ciptaan musuh semata untuk menakut-nakutkan rakyat termasuk MCA terhadap Pas.

"Kalau ikut trek rekod, Pas tak pernah memusuhi mana-mana agama atau kaum, apatah lagi menindas.

"Pas dan MCA mungkin boleh duduk semeja dan setuju dalam banyak perkara. Ini kerana bagi Pas, kepentingan umum, rakyat dan negara adalah paling utama," katanya menerusi aplikasi whatsapp sebagaimana dipetik dalam akaun Facebook miliknya.

Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, kerenggangan hubungan antara Pas dan MCA kerana sedikit salah faham sebelum ini masih boleh diperbetul serta diperbaiki demi kepentingan negara dan rakyat.

"Pas membuka ruang seluas-luasnya kepada MCA untuk sama-sama berbincang demi kepentingan rakyat dan negara," ujarnya. - UTUSAN ONLINE