Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini bagi menghormati proses undang-undang.

Menurutnya, Paul Yong perlu berehat daripada tugas rasmi termasuk tidak mengambil bahagian dalam apa juga mesyuarat yang melibatkan proses membuat keputusan sehingga proses perbicaraan selesai.

Beliau berkata, pada masa yang sama, kerajaan negeri menghormati prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

"Saya menasihatkan Yang Berhormat Paul Yong untuk bercuti daripada tugas-tugas rasmi beliau.

"Secara peribadi saya amat terkejut atas apa yang berlaku dan berharap keluarga beliau khususnya isteri dan anak-anak beliau akan bersabar dalam melalui proses perundangan ke atas beliau.

"Saya berharap keadilan akan ditegakkan kepada semua pihak yang terlibat di dalam kes ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, setakat ini tidak ada keperluan untuk melakukan sebarang rombakan drastik dan semua ahli exco kerajaan negeri sedia ada mampu memikul tanggungjawab untuk menjalankan urusan pentadbiran secara bersama.

"Saya memberi jaminan proses perundangan ke atas Paul Yong tidak akan menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri Perak," katanya.

Paul Yong yang disiasat atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia akan dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh esok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu akan dituduh di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Pada 8 Julai lalu, Paul Yong dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat pembantu rumahnya. - UTUSAN ONLINE