Menurutnya, buat masa ini beliau belum berjumpa dengan Choo Kiong setelah Bendari DAP Perak enggan bercuti daripada tugas rasmi sebagai exco seperti

yang dinasihatkan.

"Kes beliau dalam perbicaraan (pendakwaan di mahkamah atas tuduhan merogol), jadi saya tak mahu komen.

"Tapi mengenai pentadbiran, saya belum jumpa dia lagi. Apabila dah dapat jumpa dia nanti, saya akan bincang dan saya kira hal pentadbiran kerajaan negeri perlu dititik beratkan dan akan merungkai masalah ini.

"Saya akan berjumpa dengannya dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pusat Akuatik Tuanku Zara di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Choo Kiong yang didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh semalam atas tuduh merogol pembantu rumahnya menegaskan beliau tetap menjalankan tugasnya seperti biasa.

Menurutnya, tiada sebab untuk beliau berhenti daripada tugasnya kerana pertuduhan tersebut masih belum terbukti.

Terdahulu, Ahmad Faizal nasihatkan Choo Kiong supaya bercuti daripada tugas rasmi setelah ADUN Tronoh itu didakwa di mahkamah. - UTUSAN ONLINE