Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. mendakwa Mat Tere atau nama sebenarnya Muhammad Zul Apis Baharum, 29, menjadi alat untuk mewujudkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

“Tunku Mahkota Johor, Tun­ku Ismail Sultan Ibrahim juga bertitah agar pihak polis menggunakan budi bicara untuk tidak meneruskan siasatan terhadap kes ini memandangkan tidak mahu kes ini dipanjangkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rabu lalu, Mat Tere ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan untuk membantu siasatan berhubung video kata-kata kesat menghina Tunku Ismail yang menjadi tular di Facebook awal minggu lalu.

Sementara itu, menerusi entri terbaharu dalam Facebook Johor Southern Tigers (JST), Tunku Ismail hadir ke IPK Johor hari ini untuk bertemu dan memuatkan beberapa gambar beliau bersalaman dengan Mat Tere selain memohonnya dibebaskan daripada tempoh reman.

JST memaklumkan bahawa Tunku Ismail percaya Mat Tere tidak bersalah dan digunakan pihak tertentu yang mempunyai agenda politik.

Menurut laman sosial JST lagi, Mat Tere yang sepatutnya dilanjutkan tahanan reman dibebaskan dan akan dihantar pulang ke negeri kelahirannya di Kelantan.

Tunku Ismail mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kelantan kerana menjaga rakyat mereka dengan baik dan menasihatkan supaya berjaga-jaga dengan individu yang mempunyai niat untuk memecahbelahkan rak­yat.