Selain itu, di dalam karyanya yang berusia lebih 2,500 tahun itu Sun Tzu turut menekankan untuk memenangi peperangan, seorang pemimpin atau jeneral perang itu perlu terlebih dahulu memenangi hati dan fikiran seluruh batalion tenteranya di mana di sini hati merujuk pada pe­rasaan dan emosi yang terlibat.

Sun Tzu menyebut dengan memenangkan hati orang bawahan, seorang pemimpin berjaya mendapatkan kesetiaan, kebanggaan dan sokongan dari bawah.

Karya Sun Tzu itu sebenarnya tidak hanya dirujuk dalam konteks peperangan semata-mata malah sehingga hari ini falsafah peperangan Sun Tzu itu masih sesuai diguna pakai termasuk dalam soal untuk mengembalikan kekuatan UMNO.

Walaupun seorang bekas pemimpin UMNO menyebut parti itu sedang menuju kerosakan namun masa untuk menyelamatkan parti itu masih ada kerana apa yang berlaku terhadap UMNO pada masa ini ibarat proses pemutihan parti.

Lihat sahaja, dalam tempoh empat bulan ini, ramai pe­mimpin yang tidak dapat menahan asakan mengumumkan keluar daripada parti dan mungkin ramai lagi yang akan berbuat demikian selepas Perhimpunan Agung UMNO 2018.

Bagaimanapun, perlu diingatkan sebenarnya lalang yang ada harus ditebas dan disingkir, parasit juga perlu dihapuskan untuk mengelakkan kerosakan yang lebih teruk dan biarlah UMNO itu hanya diisi oleh mereka yang benar-benar setia pada parti untuk terus berperang.

Pada masa ini, UMNO memerlukan strategi dengan kepe­mimpinan tertinggi yang mendapat sokongan dan kesetiaan daripada segenap lapisan ahli untuk bangkit semula sebagai pembangkang.

Memimpin pada waktu parti kalah memang sukar namun ia tidak mustahil untuk disempurnakan jika kena pada semangat dan strategi yang dicatur kerana sejarah sendiri membuktikan perang itu dimenangi bukan hanya berdasarkan kekuatan semata-mata namun kebijaksa­naan mengatur strategi juga diambil kira.

Seperti yang tertera pada kain rentang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 - UMNO - Sebuah Perjuangan, maka inilah masa untuk UMNO memasuki gelanggang perang bagi meraih semula kepercayaan rakyat.