Ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu, Kor Ming berkata masalah itu akan diselesaikan secara dalaman parti.

"Ini adalah masalah dalaman dan kita akan selesaikannya secara dalaman parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyerahan Cek Peruntukan Khas kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Kawasan Ipoh di SMJK Ave Maria di sini hari ini.

Semalam, ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih masing-masing meletak jawatan sebagai Timbalan Bendahari DAP negeri dan Penolong Setiausaha Organisasi DAP Perak.

Mereka berbuat demikian kerana membantah kenyataan Kor Ming bahawa kedudukan ahli exco kerajaan negeri dari DAP, Paul Yong Choo Kiong yang berdepan pertuduhan rogol di mahkamah, akan dibincangkan pada peringkat Pakatan Harapan (PH).

Malah, Thye Yih secara terbuka mengkritik Kor Ming sebagai diktator kerana tindakan dan cara pengendaliannya yang tidak mengikut perlembagaan parti.

Thye Yih juga mendakwa ramai ahli yang tidak berpuas hati terhadap Kor Ming yang menunjukkan sikap diktator dalam setiap tindakannya. - UTUSAN ONLINE