Selain faktor hilang keyakinan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH), juga faktor calon PH itu sendiri, M. Manogaran di kawasan majoriti Melayu di DUN Jelai, keha­diran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membantu kempen BN baru-baru ini memberikan impak yang cukup besar dalam me­narik sokongan.

Najib bukan sahaja sohor kini dalam media sosial, malah juga di lapangan umum apabila kemunculannya menja­di tumpuan ramai sehingga di­serbu dalam program yang bukannya diatur untuk beliau pun semasa di Jelai.

Sokongan masyarakat Felda di DUN Jelai cukup kuat lantaran jasanya terhadap golongan itu, kesinambungan daripada bapanya, Allahyarham Tun Ab­dul Razak Hussein.

Kehadiran Najib memberi pe­luang kepada peneroka Fel­da mengadu nasib kerana tidak lagi mendapat bantuan dan pembelaan yang sewajarnya da­ripada kerajaan hari ini.

Adalah jelas, Najib sudah me­nambat hati pengundi di DUN Jelai yang terdiri daripada peneroka Felda dan di kampung tradisi serta Orang Asli.

Berdasarkan jumlah pengun­di pada PRU-14, DUN Jelai mempunyai 12,543 iaitu Melayu 64.14 peratus, Cina 0.50 peratus India 1.26 peratus manakala Orang Asli 34.07 peratus.

Ketika Najib dilihat berja­ya menarik undi pengundi Me­layu di DUN tersebut, persoalan timbul sama ada mampukah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengubah sokongan pengundi kepada PH pula?

Dr. Mahathir dijadual akan membantu kempen PH menerusi dua program iaitu di SK Betau, Kuala Lipis dan bersama warga peneroka Sungai Koyan di Dataran Sungai Koyan di dalam DUN Jelai pada Jumaat ini.

Berdepan peneroka Felda me­rupakan satu cabaran buat Dr. Mahathir ketika golongan itu merungut mengenai pelbagai isu setelah PH dilihat gagal membela nasib mereka.

Setakat ini sokongan penero­ka dan masyarakat Orang Asli nampak memihak kepada BN walaupun pemimpin utama PH seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng pernah berkempen di sini, namun mereka dilihat gagal menarik sokongan besar pengundi di sini.

Kempen di DUN Jelai kini dilihat menguji siapa lebih kuat pe­ngaruhnya sama ada Najib atau Dr. Mahathir, dua tokoh yang akan menentukan corak soko­ngan pengundi di DUN Jelai.