Katanya, sebelum ini mereka tampil berucap bersama semasa kempen kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang ditandinginya pada Oktober 2018.

"Macam mimpi, saya dan Dr. Mahathir sepentas dalam program PKR buat pertama kalinya," katanya ketika berucap dalam Majlis Temu Rapat Pimpinan PKR Pusat di sebuah hotel di sini malam ini.

Yang turut hadir Dr. Mahathir; Timbalannya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan barisan kepemimpinan PKR.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, negara memerlukan gabungan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang kuat untuk mentadbir dengan berkesan.

Sehubungan itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab kesemua parti komponen memperkukuhkan PH.

Beliau mengakui dalam tempoh lebih setahun kerajaan PH memerintah, masih banyak agenda yang belum diselesaikan dan ia memerlukan sedikit masa untuk dilaksanakan.

"Kita ambil alih sistem yang rosak tetapi kita sudah lihat sedikit perubahan contohnya kebebasan media dan badan kehakiman, manakala badan penguat kuasa menuju ke arah yang lebih telus," ujarnya.

Beliau berkata, komitmen kerajaan adalah untuk membela rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama di negara ini. - UTUSAN ONLINE