Menilai dari segi kenyataan akhbar, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu memang konsisten menolak tindakan lompat parti yang disifatkan ramai sebagai jenayah moral. Bukan kerana tiada kemungkinan untuk mereka melompat masuk DAP.

Pendirian ini sama seperti mendiang bapanya, Karpal Singh. Begitu juga dengan Lim Kit Siang. Kata Penasihat DAP itu, beliau telah mendesak penggubalan undang-undang antilompat parti 40 tahun dulu lagi dengan usul pernah dikemukakan di Dewan Rakyat pada tahun 1976.

Kerajaan DAP Pulau Pinang juga pernah menggubal undang-undang antilompat parti pada 2012. Walaupun tidak selari dengan Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan, namun tetap diluluskan sebagai ‘bukti’ penentangan parti itu kepada perbuatan lompat parti.

Pernah akhbar melaporkan Karpal yang ketika itu Pengerusi DAP akan membawa rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat supaya Perkara 10 (1)(c) dipinda agar membolehkan undang-undang anti lompat parti Pulau Pinang itu sah di sisi perundangan.

Namun sehingga hari ini, Perkara 10 (1)(c) masih belum dipinda dan berdasarkan keputusan Mahkamah Agung pada 1992 dalam kes DUN Kelantan v Nordin Salleh, tindakan lompat parti oleh wakil rakyat tidak boleh dihalang. Itu hak sah dalam Perlembagaan.

Dan hari ini, sebuah portal berita melaporkan Ramkarpal sekali lagi mahu Perlembagaan dipinda supaya menjadikan perbuatan lompat parti sebagai tindakan menyalahi undang-undang.

Gesaan ini bukan baru tetapi apa yang baru apabila anak kepada tokoh berpengaruh DAP itu ketika ditanya pemberita mengakui pemimpin DAP sedang mempertimbangkan untuk membawa rang undang-undang persendirian untuk meminda Perlembagaan.

Memang elok benar kalau DAP dan Ramkarpal menyegerakannya. Tidak ada masalah rasanya untuk mendapat sokongan dua pertiga bagi meminda Perlembagaan kerana PH sudah menguasai Dewan Rakyat. Selain itu, Pas dan kini BN juga menyokong tindakan menghalang lompat parti.

Apa lagi, sudahkanlah apa yang diusahakan Kit Siang 40 tahun lalu. Inilah masanya. Walaupun menteri berkenaan mengatakan kerajaan PH tiada cadangan untuk gubal akta antilompat parti, tetapi DAP boleh lakukan dengan bawa rang undang-undang persendirian untuk menyempurnakan perjuangan tokoh mereka. Ayuh, rakyat tunggu dan lihat. - UTUSAN ONLINE