Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pelantikan bekas Perdana Menteri itu sewajarnya dilihat daripada sudut positif dalam usaha menarik kembali sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN.

Malah katanya, fenomena 'bossku' yang dibawa Najib sehingga mampu mengumpulkan rakyat di setiap program yang diadakan, menunjukkan kebangkitan sokongan yang dahulunya memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

"Bekas Perdana Menteri itu membawa fenomena 'bossku' yang dapat menarik ramai orang khususnya golongan muda untuk menyokong UMNO dan BN. Ke mana sahaja beliau pergi, mereka (orang ramai) datang sendiri.

"Ini kebangkitan yang bukan calang-calang dan jika dimanfaatkan sebaiknya sehingga pilihan raya umum akan datang, ia akan menjadi kekuatan baharu kepada parti. Bagaimanapun, jika kita sisihkan 'bossku', satu kerugian untuk kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Semula dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2019 anjuran Taj International College (TIC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kelebihan Ahli Parlimen Pekan itu dalam menarik perhatian ramai perlu diakui di mana tidak semua pemimpin dalam parti mampu melakukan perkara serupa.

Malah katanya, pengalaman dan ilmu yang dimiliki beliau selama bertahun-tahun berada dalam politik dan pentadbiran negara juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

"Dia pernah berada di beberapa kedudukan penting dalam negara dan kita lihat dengan ilmu pengetahuan, kejayaan, pengalaman serta hubungan baiknya dengan dunia berbanding kita, kita tidak sampai banyak itu.

"Najib banyak kelebihan dan beliau wajar menjadi penasihat. Ini semua adalah aset yang boleh dimanfaatkan kepada UMNO, BN dan negara. Bagaimanapun, sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN, beliau hanya bertindak sebagai penasihat dan tidak memiliki kuasa eksekutif," katanya.

Perlantikan Najib untuk jawatan itu mengundang pelbagai reaksi antaranya Mohamed Nazri apabila menganggap ia sebagai satu langkah ke belakang manakala Khairy pula mengakui tidak gembira mendengar berita itu. - UTUSAN ONLINE