Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, kongres tersebut akan menutup konvensyen di setiap negeri yang dijadualkan bermula Oktober ini.

“Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan amanat beliau kepada ahli-ahli di setiap negeri (dalam konvensyen tersebut).

“Jadual konvensyen akan diumumkan selepas selesai penyelarasan dengan tarikh persidangan Parlimen dan pembentangan belanjawan akan datang,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu seperti dipetik portal Suara Keadilan hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Biro Politik PKR di Ibu pejabat parti itu dekat sini semalam.

Tambah Fahmi, konvensyen yang akan diadakan dengan menjelajah ke setiap negeri itu bertemakan ‘Reformasi Dua Dekad’.

“Konvensyen akan diadakan pada Sabtu atau Ahad bergantung kepada negeri,” katanya. - UTUSAN ONLINE