TUNKU ABDUL AZIZ TUNKU IBRAHIM Bekas Naib Pengerusi DAP

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, tindakan Kit Siang mengangkat diri sendiri sebagai patriot adalah memalukan.

“Anda tidak boleh mengangkat diri sendiri sebagai patriot, itu bukan caranya. Orang lain yang sepatutnya mengangkat anda sebagai patriot selepas bersetuju secara sebulat suara berdasarkan jasa anda kepada negara.

“Anda dan Dr. Mahathir tidak membantu negara sebaliknya telah menyerang imej negara sendiri dengan pembohongan bertali arus. Anda juga berusaha keras untuk mensabotaj ekonomi kita dengan ‘mengusir’ pelabur asing daripada melabur di negara kita apabila termakan dengan pembohongan dan anda berpuas hati dengan perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kit Siang kelmarin mengakui beliau sebagai seorang patriot kononnya untuk menyelamatkan Malaysia daripada situasi politik yang tidak betul.

Tambah Abdul Aziz, kenyataan Kit Siang mengangkat diri sendiri sebagai seorang patriot adalah seperti orang kurang siuman.

Katanya, Kit Siang dikenali sebagai individu yang sukar berkompromi dan kejam selama 51 tahun di dalam dan di luar politik dan kini beliau terdesak mahu menukar gambaran itu sebagai patriot.

“Apabila gaya kepimpinannya itu semakin jelas dan terbukti dengan peletakan jawatan ahli-ahli DAP di Melaka, beliau menyalahkan pihak atasan yang didakwa cuba menyerang gaya pemerintahannya bagi memusnahkan reputasi beliau,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, Kit Siang dan Dr. Mahathir adalah anasir yang berbahaya kepada keamanan, keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

“Mereka telah melakukan perkara yang jahat. Bagi seorang ahli politik yang sentiasa melemparkan tuduhan palsu kepada lawannya, ini adalah satu lagi contoh khayalan mereka apabila menganggap mereka sedang menyelamatkan Malaysia dan layak digelar patriot.

“Mereka melakukan pelbagai jenis kejahatan dan rasa diri mereka patriot, ini adalah sesuatu yang sangat sinis dan tidak bermoral,” katanya.