Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, Kit Siang sebenarnya ingin melihat Malaysia bergerak ke hadapan melangkaui isu etnik, kaum, agama dan parti politik yang berlegar tanpa titik noktah.

Katanya, apa yang berlaku sebaliknya adalah rakyat masih bermain dan mudah terjebak dengan isu-isu tersebut sehingga merimaskan Kit Siang sebagai pemimpin veteran DAP.

“Isu etnik dan agama merupakan naratif politik yang berlegar dalam media sosial dan perkara ini mempengaruhi emosi rakyat, termasuk emosi orang Melayu dan bukan Melayu. Ini kerana, mereka mengharapkan perubahan berdasarkan suara mereka apabila Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya umum lalu.

“Di satu naratif lain adalah masyarakat Melayu mahu hak mereka dipertahankan dan isu pendidikan serta agama jangan disentuh sehingga boleh menyebabkan kemarahan orang Melayu. Jika dua perkara ini bertembung, dilemanya adalah mencari jalan tengah dan pemimpin PH cuba mencari jalan tengah itu tetapi nampak gayanya, pengundi masih menegakkan benang kebenaran masing-masing,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Semalam, Kit Siang melontarkan pertanyaan dalam blog rasminya sama ada beliau perlu melupakan impian satu Malaysia Baharu dan bersara selepas lebih lima dekad bergelumang dalam politik ekoran keyakinan dalam kalangan penyokong yang dikatakan semakin menurun.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, impak daripada kenyataan Kit Siang itu sebenarnya supaya diwujudkan satu konsensus bukan sahaja kerajaan tetapi parti pembangkang kerana pembangunan negara perlu menjadi agenda utama.

“Apabila kerajaan cuba bergerak ke hadapan, asakan demi asakan dalam naratif politik menyebabkan isu utama mula pudar dan tenggelam.

“Sedangkan isu lebih besar daripada isu berlegar dalam media sosial adalah tentang peluang pekerjaan, perumahan dan menangani kos sara hidup kerana perkara ini yang perlu ditangani oleh pihak kerajaan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE