Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penubuhan parti tersebut adalah untuk mendapatkan hanya 10 peratus undi Melayu bagi menewaskan BN di 30 kawasan majoriti pengundi kaum itu.

Katanya, malah sejak daripada awal, Kit Siang juga mewujudkan Parti Amanah Negara (Amanah) iaitu serpihan Pas sebelum mencadangkan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad agar menubuhkan satu lagi parti Melayu baharu sebelum pilihan raya lalu.

“Mereka (DAP) menyasarkan sebanyak 10 peratus sahaja dapat mengurangkan undi Melayu untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya. Dan mereka berjaya apabila 30 kerusi di kawasan Melayu berkurangan 10 peratus (undi Melayu),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Arau di Pusat Khidmat Kubang Gajah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau, Syed Atif Syed Abu Bakar; Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli dan barisan kepemimpinan UMNO dan Pas bahagian berkenaan.

Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan mengenai asal usul penubuhan Bersatu adalah hasil cadangan Kit Siang.

Bekas Perdana Menteri itu mendedahkan perkara tersebut semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pendang semalam sekali gus sebagai reaksinya terhadap pelawaan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini yang mempelawa parti-parti politik Melayu menyertai Bersatu.

Dakwa Najib, cadangan Kit Siang itu dilontarkan dalam satu mesyuarat bersama Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin lain sebelum tertubuhnya Bersatu yang kemudian menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya lalu.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, beliau yakin kerjasama antara UMNO dan Pas akan berjaya merampas semula 30 kerusi yang tewas itu seterusnya kembali mengambil alih pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tidak menjadi sebarang masalah pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN kerana peranan bekas Presiden UMNO itu hanyalah memberi pandangan dan nasihat.

“Najib bukan membuat keputusan, dia hanya beri pandangan. Pandangan Najib itu terpulanglah kepada kepemimpinan BN hendak terima atau sebaliknya,” katanya.- UTUSAN ONLINE