Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, Kit Siang boleh disifatkan hanya berani bercakap dari jauh namun apabila diberi peluang untuk berhujah dengan Zakir secara baik, beliau bertindak mensia-siakannya.

Tambah Che Abdullah yang juga pengarah program Pengarah Program Dr Zakir Naik: The Kelantan Tour 2019, pihaknya menjemput Kit Siang secara rasmi ke program itu ekoran kenyataan sinis pemimpin DAP tersebut yang meminta Zakir pulang ke India secara sukarela.

"Jemputan itu sepatutnya diambil peluang oleh YB LKS (Kit Siang) untuk menyatakan apa-apa ketidakpuasan hati dan (beliau) bolehlah menyoal (Zakir) secara berdepan. Saya menyarankan beliau bawa pembantu kiranya perlu untuk berhujah.

"Saya juga memastikan pihak urusetia menyediakan kerusi untuknya di bawah khemah VVIP bersama Menteri Besar, barisan pimpinan negeri, Ahli Parlimen dan ADUN. Lama kami menanti tapi beliau tak kunjung tiba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan terbaharu semalam, Kit menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Zakir kerana mencetuskan rasa tidak puas hati masyarakat India apabila membandingkan nasib diterima penganut Hindu di Malaysia dengan umat Islam di India ketika berucap di Kelantan.

Mengulas lanjut, Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, Kit Siang sepatutnya menyuarakan pandangan beliau itu ketika program berlangsung, bukannya mengkritik dari jauh sebagaimana yang dilakukan selama ini.

"Alangkah baiknya kira apa yang dikemukakan Kit Siang hari ini (semalam), dikemukakan terus kepada Dr. Zakir Naik pada malam tersebut kerana peluang seluas-luasnya dibuka kepada beliau untuk berhujah.

"Takut apa YB Ku?" soal Che Abdullah. - UTUSAN ONLINE