Felo Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (Cenpris) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Ainul Adzellie Hasnul berkata, gesaan untuk menghalau keluar penceramah Islam bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Zakir hanya memberi ceramah tentang Islam dan tidak pernah menimbulkan kekacauan dalam negara. Hanya segelintir golongan tertentu yang mempunyai perasaan benci dan dengki dengan beliau menganggapnya sebagai ancaman kepada negara.

“Sebagai seorang daripada ahli politik paling lama dalam negara, Kit Siang sepatutnya memahami perkara ini. Beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam yang merupakan kaum majoriti dalam negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ainul Adzellie berkata, Kit Siang perlu berhenti mencampuri urusan berkaitan agama Islam bagi mengelakkan keharmonian dalam negara terganggu.

Katanya, bibit-bibit kemarahan orang Islam jelas kelihatan apabila lebih 30,000 warga maya yang melakukan undian agar Kit Siang keluar dari Malaysia berbanding Zakir dalam satu undian sebuah laman Facebook, Fikir Ilmu.

“Sudah tentu majoriti yang melakukan undian tersebut adalah mereka yang beragama Islam. Kit Siang perlu berhenti melakukan provokasi terhadap sebarang perkara berkaitan Islam,” katanya. - UTUSAN ONLINE