Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, hanya dengan cara itu Pergerakan Puteri UMNO akan dapat membantu UMNO menjadi pembangkang yang kuat.

“Kikis perasan manja. Kalau kita boleh ‘survive’ (hidup) semua ini, kita akan jadi kumpulan yang kuat. Dulu pembangkang survive, kenapa tidak kita?

"Sebagai pembangkang. Puteri UMNO perlu bergerak sebagai pembangkang dan membina pemikiran sebagai pembangkang," katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini..  

Pada masa sama beliau meminta ahli-ahli sayap berkenaan memanfaatkan kuasa jari jemari untuk menyerang dan mengkritik dasar-dasar kerajaan hari ini yang merugikan orang Melayu dan bumiputera.

Dalam pada itu, Zahida berkata, tindakan wakil rakyat UMNO melompat parti dilihat sebagai satu isu maruah.

“Bukan sahaja nilai maruah yang hina kepada mereka yang lompat tetapi maruah kita yang dikhianati. Kita semua bersahabat dan bersaudara.

“Kita berkumpul bersama pada saat kapal dilambung ombak. Mereka yang lompat menyelamatkan diri akan keseorangan dilambung ombak di luar sana,” katanya.

Tambahnya, beliau percaya ketika ini, mereka yang melompat itu keseorangan dan merindui kepada keceriaan suka dan duka dalam sebuah keluarga bernama UMNO.

Beliau seterusnya menyeru semua ahli sayap untuk bersama pucuk pimpinan menyingsing lengan dan mengatur langkah menjadi benteng mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara. - UTUSAN ONLINE