Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pada satu peringkat, adalah tidak boleh sama sekali untuk mana-mana pemimpin membangkitkan perkara yang berkaitan agenda Melayu.

“Saya sendiri menerima pelbagai tuduhan sehingga dianggap `progresif jadian’ dan pelbagai lagi. Nampaknya kita sudah sampai ke peringkat tidak boleh langsung bercakap soal agenda Melayu.

“Sebut agenda Melayu, ini rasis. Saya teramat dukacita,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam tadi.

Khairy diminta mengulas laporan beberapa portal propembangkang yang mengkritik beliau sebagai gagal menterjemahkan keterbukaan dan progresif seperti yang sering dikaitkan dengannya selama ini.

Sedangkan menurut Khairy, apa yang dibangkitkan pihak terlibat berhubung perjalanan perbahasan Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO semalam tidak langsung boleh dianggap rasis.

Katanya, beliau dan para pembahas misalnya tidak langsung meminta supaya sekolah vernakular ditutup seperti yang cuba dispekulasi oleh pelbagai pihak manakala yang berkaitan Akta Hasutan bukan sahaja cerminan pandangan ahli parti bahkan majoriti rakyat.

“Pemuda UMNO cuma menuntut komitmen ke arah perpaduan nasional menerusi bahasa kebangsaan. Apabila kita bangkitkan soal keprihatinan bangsa Melayu, kita dituduh rasis, saya amat dukacita,” jelasnya.

Sementara itu, jelas Khairy, UMNO merupakan sebuah parti yang besar dan oleh itu terdapat bermacam pandangan yang mewakili pelbagai golongan dalam parti.

“Tetapi apa yang penting kita bertindak untuk kepentingan semua rakyat tanpa mengira kaum dengan soal agenda Melayu tetap mendapat keutamaan,” ujarnya.