Sambil menyifatkan situasi itu begitu amat mendukacitakan apabila rakyat menjadi mangsa, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, sepatutnya dalam keadaan apapun, rakyat mesti dibantu.

Malah, kata beliau, kerajaan PH perlu merangka strategi menghadapi cabaran ekonomi global dewasa ini terutama membantu dan melindungi golongan yang terkesan dalam situasi sedemikian.

“Ini baru dinamakan kerajaan bertanggungjawab. Memang tidak salah kerajaan menyuruh rakyat bersedia.

“Namun, mengajak rakyat mengikat perut dengan memberi alasan ‘situasi luaran’ yang ‘di luar kawalan kerajaan’ adalah suatu yang tidak boleh diterima. Ini seakan kerajaan PH sudah kehabisan idea menangganinya.

“Kerajaan PH mesti mempunyai formula terbaik membina benteng kekuatan ekonomi Malaysia. Namun yang ketara ialah polisi dan dasar kewangan negara tidak konsisten dan sukar meyakinkan pelbagai pihak. Kelemahan menteri dan pihak dipertanggungjawabkan inilah yang mengeruhkan keadaan,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

Shamsul Anuar percaya ramai kecewa dengan pelbagai `janji manis, `pelan pembaharuan’, `agenda penambahbaikan’, `reformasi ekonomi’, `bajet rakyat’ dan sebagainya yang dipropogandakan oleh kerajaan PH selama ini.

Kata beliau, jelas ketara ia tidak memberikan kesan positif kepada negara apabila angka angka rasmi menunjukan `dalil’ usaha kerajaan PH gagal.

“Realitinya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semasa Barisan Nasional jauh lebih tinggi dari keempat-empat harimau Asia dan selalu di antara tertinggi di ASEAN dan dunia.

“Kini berbeza di bawah PH. Hutang negara meningkat hampir RM100 bilion sejak Mei 2018, tidak termasuk pinjaman RM82 bilion dari Petronas , bon Samurai. Difahamkan kerajaan PH mahu pula berunding mendapatkan bon Panda dari China,” kata beliau.

Kata Shamsul Anuar lagi, fakta juga membuktikan pertumbuhan ekonomi dibawah PH lemah dan berlaku penyusutan dana dana Petronas, Khazanah dan Tabung Haji serta mungkin juga dana lain.

“Keadaan tersebut membimbangkan dan Dr. Jomo atau penasihat kewangan Kerajaan PH mesti jujur bercakap soal ini.

“Kita perlu akui, nilai ringgit Malaysia semasa BN serahkan negara ini ialah USD1 = RM3.83. Namun selepas setahun di bawah PH, ringgit lemah semula menjadi USD1 = RM4.18. Indeks bursa saham juga pernah jatuh 300 mata ke bawah 1,600 walaupun pulih sedikit ke 1,640 ketika ini,” jelasnya.

Kata beliau:

“Perang ekonomi Amerika Syarikat-China tidak seharusnya dijadikan alasan. Kedua kuasa ekonomi ini sejak dahulu telah saling bersaing. Malahan ada ketikanya lebih agresif ketika zaman Kerajaan BN. Namun Kerajaan BN berjaya mengharungi ketidaktentuan ekonomi dunia ketika itu melalui perlaksanaan dasar-dasar yang pragmatis, diyakini pelbagai pihak serta berupaya membina bentang ketahanan ekonomi negara dengan berkesan.

“Ketidakmampuan kerajaan PH disahkan lagi dengan pengakuan Dr. Jomo bahawa “agenda pembaharuan bukan mudah dilaksanakan” . Selain dilihat sebagai satu helah meminta rakyat bersimpati jika ia tidak dapat dilaksana, hakikatnya juga memperlihatkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Majlis Tindakan Ekonomi Negara, dan pelbagai jawatankuasa yang dibentuk di bawah PH, tidak berperanan sebagaimana sepatutnya.”

Shamsul Anuar turut mempersoalkan:

“Di manakah `penasihat-penasihat’ kerajaan yang dahulunya menyuruh Perdana Menteri memansuh perancangan atau membubarkan dasar dasar BN semata-mata kerana perasaan dendam dan bencikan hasil kerja BN? Sebetulnya zaman kesukaran yang dinyatakan oleh Dr Jomo sudah dilalui dengan berjaya oleh kerajaan BN. BN juga mewariskan Malaysia dalam kedudukan yang baik kepada PH, namun diputarbelit oleh pimpinan PH.

“Kesannya rakyat yang menanggung kesengsaraan. Pelbagai bantuan kewangan dipotong, pembuangan kerja dan pengangguran berlaku. Kos sara hidup bertambah. Usahawan dan peniaga Bumiputra kini berdepan cabaran berbeza. Kini rakyat menunggu apakah pelan tindakan kerajaan untuk mereka keluar dari kemelut ekonomi ini dan bukannya dibiarkan terus karam dalam pusaran ekonomi ketika ini.” - UTUSAN ONLINE