Kehadiran ribuan ahli UMNO sehingga membentuk ‘gelombang merah’ yang memenuhi Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk mendengar ucapan sulung Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai nakhoda parti dalam Perhimpunan Agung UMNO merupakan manifestasi keprihatinan akar umbi terhadap hala tuju parti.

Suasana itu sudah pastinya menyuntik kelegaan kepada barisan kepemimpinan UMNO diketuai Ahmad Zahid berikutan pelbagai cabaran dan kontroversi yang menimpa sejak empat bulan lalu apabila buat pertama kalinya dalam sejarah, parti itu berada di blok pembangkang selepas gabungan Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hakikatnya, Ahmad Zahid yang kini merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen dipilih memimpin UMNO pada era parti itu tiada lagi kuasa mentadbir negara, hebat diserang dari kiri, kanan dan dalam, ditolak sebahagian orang Melayu selain cabaran mengekalkan keutuhan parti ketika ada dalam kalangan ahli termasuk kepemimpinannya memilih untuk meninggalkan perjuangan.

Sehubungan itu, himpunan ribuan perwakilan untuk mendengar ucapan dasar Presiden sudah tentunya memberikan kekuatan kepada Ahmad Zahid untuk merencana hala tuju UMNO. Satu signal yang baik juga ke arah menyuntik kebangkitan semula parti itu dalam tempoh lima tahun ini.

Perasmian Perhimpunan Agung UMNO kali ini juga mencipta sejarah baharu apabila buat julung kalinya parti itu mengalu-alukan kehadiran delegasi kepemimpinan Pas diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kehadiran kepemimpinan tertinggi Pas itu sememangnya dijangka selepas UMNO diketuai Ahmad Zahid terlebih dahulu ‘menziarahi’ Muktamar Tahunan Pas Pusat, awal bulan ini.

Selain kehadiran kepemimpinan Pas, yang turut mencuri tumpuan ialah kemunculan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Meskipun wujud kelompok dari dalam parti yang menuding jari kepada Najib sebagai sebab kegagalan UMNO pada PRU-14, namun sokongan terhadap beliau masih utuh apabila bekas Perdana Menteri itu menerima tepukan gemuruh daripada perwakilan sebaik sahaja namanya disebut oleh Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Sudah tentunya Perhimpunan Agung UMNO kali ini mencatatkan sejarah baharu kepada parti itu dari sudut positif dan negatif, tetapi yang perlu diberikan tumpuan ialah sama ada perhimpunan tersebut mampu menjadi medan kebangkitan UMNO. - UTUSAN ONLINE