Ia berikutan pembentangan prestasi tahunan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) itu yang menyaksikan ia mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.271 bilion tahun lalu, kejatuhan teruk berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.896 bilion yang dicatat tahun sebelumnya.

Namun, menurut Khairy yang memegang portfolio Kewangan dalam kabinet bayangan Barisan Nasional (BN), perkembangan itu tidak mengejutkan kerana memang pada tahun lalu, saham-saham syarikat utama milik Khazanah mencatat kemerosotan yang ketara.

“Sebagai contoh, saham Telekom Malaysia (TM) dari RM5.00 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jatuh kepada RM3.09 semalam, pernah jatuh ke tahap RM2.15 pada 26 Oktober 2018. Saham CIMB pernah jatuh dari RM6.90 sebelum PRU-14 kepada RM5.30 selepas PRU-14. Saham Axiata juga pernah jatuh dari RM5.49 kepada RM3.25. Dengan kata lain, hampir semua portfolio utama pelaburan Khazanah tidak memberi apa-apa pulangan positif.

“Walaupun berlaku kenaikan harga saham selepas beberapa bulan, namun hakikatnya keadaan ketika ini masih lagi buruk berbanding sebelum PRU-14. Ditambah dengan pelbagai keputusan flip-flop dan pusingan U kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang akhirnya menyebabkan ketidaktentuan sentimen pelabur memberi kesan kepada Khazanah,” katanya dalam akaun Facebook miliknya di sini hari ini.

Membandingkan dengan kerugian pelaburan sebanyak RM80 juta syarikat itu dalam syarikat pakaian dalam, Khairy berkata, nilai kerugian yang dicatat Khazanah tahun lalu adalah 7,775 peratus lebih tinggi.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan hari ini membentangkan Ulasan Tahunan Khazanah 2019 (KAR 2019) yang menyaksikan bukan sahaja syarikat itu mengalami kerugian, malah turut mencatatkan penurunan nilai aset yang signifikan.

Mengulas perkara itu, Khairy turut mengingatkan tentang rekod baik Khazanah sepanjang 10 tahun lalu apabila syarikat itu berjaya meningkatkan jumlah aset daripada RM34 bilion kepada lebih RM115.6 bilion.

“Namun individu-individu penting yang membawa kejayaan kepada Khazanah yang diketuai oleh Tan Sri Azman Mokhtar telah ditukar kepada kepimpinan baharu selepas PRU-14,” katanya. - UTUSAN ONLINE