Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan demikian selepas melihat keberkesanan kerjasama itu dibuktikan dengan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Semenyih.

Beliau berkata, kerjasama itu perlu dilakukan dengan ikhlas antara pemimpin serta penyokong parti masing-masing.

“Saya tak tahu sejauh mana sikap kepemimpinan dan penerimaan penyokong di negeri ini tetapi yang ramai itu (penyokong setia UMNO dan Pas) perlu dipujuk serta diberi pemahaman bahawa ini adalah sebaik-baik kerjasama.

“Kita tengok ada tanda-tanda yang membolehkan kita dapat kemenangan lebih daripada biasa jika benda ini dilakukan dengan ikhlas hati,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan bersama peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim, ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan ADUN Paloh, Amran Ariffin.

Sementara itu, Tengku Razaleigh yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO berkata, keputusan MCA dan MIC yang cuba keluar dari Barisan Nasional (BN), tidak boleh dihalang kerana dalam demokrasi parti itu boleh menyertai mana-mana pakatan yang halal di bawah undang-undang.

Katanya, gabungan UMNO, MCA dan MIC diasaskan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman sebelum merdeka lagi apabila menubuhkan Perikatan.

“Kita berasa malang sekali apabila MCA dan MIC memutus sikap nak mengasingkan diri daripada BN.

“Itu adalah lambang perpaduan rakyat yang Tunku cuba tonjolkan kepada seluruh warganegara kita bahawa usaha itu penting dalam pembangunan menerusi perpaduan rakyat,” katanya.