Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, pasukan-pasukan tersebut telah membuktikan keupayaan mereka untuk menumpaskan pelbagai kegiatan jenayah dan tiada langsung kedengaran kegagalan ketika menjalankan misi.

Beliau berkata, pembubaran pasukan itu juga memberi tanggapan bahawa sesetengah ahli politik kerajaan dalam kerajaan terutamanya DAP ini dikuasai oleh puak gangster. 

“Kerajaan dilihat amat lemah dan lembik sekali serta tidak berupaya menjaga keamanan dalam negara. 

“Sudahlah kes penghinaan terhadap agama Islam dan bangsa Melayu pun gagal mendapat komen balas dan tindakan pantas daripada beliau, ini pula terus membubarkan satu pasukan yang amat digeruni oleh penjenayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Utusan Online hari ini melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan tiga pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dimansuhkan sebagai langkah penstrukturan semula beberapa jabatan dalam agensi keselamatan itu.

Tiga pasukan tersebut ialah Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (Stafoc). - UTUSAN ONLINE