Selepas Pilihanraya Umum ke-11 pada tahun 2004, Barisan Alternatif nama baru bagi Gabungan Parti -parti pembangkang yang terdiri daripada PAS, DAP, Parti Keadilan Nasional dan PRM sekali lagi pecah dan terkubur menjelang pilihanraya Negeri Sarawak apabila PAS dan DAP berbalah secara terbuka dalam isu-isu yang melibatkan kaum dan agama.

Selepas bebas dari penjara Anwar Ibrahim telah menjelajah ke seluruh tanahair untuk membina gabungan parti-parti pembangkang dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-12 pada tahun 2008. Usaha gigih Anwar itu membina asas Pakatan Rakyat dan buat pertama kali dalam pilihanraya Umum ke-12 tahun 2008 itu Barisan Nasional hillang kuasa di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan Kelantan. Anwar Ibrahim muncul sebagai tenaga yang menyatukan parti-parti pembangkang pelbagai kaum dan agama itu.

Sekali lagi dalam pilihanraya umum ke-13 Anwar Ibarhim menjadi tenaga penggerak membina Gabungan Pakatan Rakyat untuk tujuan mengambil alih Kerajaan Persekutuan di Putrajaya. Walaupun Pakatan Rakyat gagal mencapai tujuan itu tetapi buat pertama kali dalam sejarah Malaysia merdeka, Barisan Nasional hilang majoriti dua pertiga di parlimen. Anwar Ibrahim dilihat sebagai ancaman kepada Rejim Barisan Nasional. Lalu konspirasi politik yang jahat dilancarkan untuk menyerang Anwar sehingga beliau dipenjarakan selama lima tahun di Penjara Sungai Buloh.

Apabila berlaku vakum dalam kepimpinan Pakatan Rakyat selepas PRU-13 dan selepas Anwar dipenjarakan dan sikap PAS yang semakin ektreme dalam isu-isu berkaitan kaum dan agama, maka Pakatan Rakyat juga pecah menjelang pilihanraya Negeri Sarawak yang diadakan berasingan dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia.

Kini isu 3 R (race,religion dan royalty) muncul kembali di persada politik Malaysia, iaitu isu kaum, agama dan raja. Yang terkini dilihat Tun Dr Mahathir Mohamaed selaku Pengerusi Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Kerajaan Persekutuan sudah seperti hilang punca dan hilang daya untuk menghadapi kritikan-kritikan dari pelbagai pihak terutama dari Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sehingga menuduh Dong Zong sebagai pertubuhan rasis atau perkauman.

Sebagai seorang Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (Pakatan Harapan) yang turut menandatangani surat yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir untuk dilantik menjadi Perdana Menteri sebaik sahaja PH memenangi cukup majoriti untuk membentuk kerajaan selepas PRU-14 pada 9 Mei 2018, saya berpendapat masa sudah sampai untuk Tun Dr Mahathir Mohamaed berundur sebagai Perdana Menteri. Beliau sudah jelas kelihatan tidak dapat menangani banyak isu dalam negara sekarang.

Untuk selamatkan Kerajaan Pakatan Harapan, saya percaya tiada jalan lain ketika ini untuk elakkan PH supaya jangan pecah menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi seperti apa yang berlaku pada Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, saya berharap dan memohon supaya Tun Dr Mahathir yang berjiwa besar mengambil langkah yang berani seperti Sir Winston Churchil Perada Menteri British yang berundur selepas berjaya membawa Britain dan Pihak Berikat memenangi Perang Dunia Kedua mengalahkan Kuasa Paksi Fasis Jerman dan Jepun dan menyerahkan kuasa Perdana menteri kepada pemimpin yang lain.

Tun Dr Mahathir Mohamaed akan tetap dikenang dan dihormati kerana telah berjaya memimpin PH menumbangkan BN dalam PRU-14 dan membentuk kerajaan baru PH melalui proses peralihan kuasa dengan aman dan teratur. Tetapi perkembangan terkini dalam tanahair dengan munculnya isu-isu yang banyak untuk memecahbelahkan rakyat, maka sudah sampai masanya proses peralihan jawatan Perdana Menteri dari Tun Dr Mahathir kepada Anwar Ibrahim dapat dilaksanakan dengan segera sekarang ini sekiranya Kerajaan Pakatan Harapan hendak diselamatkan.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

***Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.