Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, pihaknya tiada masalah dan mengalu-alukan langkah tersebut.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri tiada masalah tentang perkara ini. Saya mengalu- alukan SPRM untuk buat siasatan bagi mendedahkan siapa yang melakukan kesalahan tersebut," mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataannya hari ini.

Mohamed Khaled menyatakan kesediaannya untuk disiasat setelah dituduh dan dipersalahkan berhubung kejadian pencemaran udara yang berlaku pada Jun lalu.

Terdahulu Dr. Sahruddin merasmikan Food Bank Yayasan Harapan Pontian di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Ali Haji Ahmad di sini hari ini.

Yang turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian, Noor Syazlan Abd. Razak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong dan Pengerusi Yayasan Harapan Pontian, Zulkifly Tasrep.

Pada masa sama, Dr Sahruddin berkata, pihaknya hanya boleh mendedahkan nama-nama kilang yang terbabit dengan pencemaran itu apabila sudah dikenal pasti. - UTUSAN ONLINE