Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Alam Sekitar negeri berkata, kenyataan beliau sengaja dijadikan isu oleh golongan ekstremis kanan bertujuan memburukkan dirinya dan juga DAP.

Katanya, semasa menjawab soalan wartawan semalam, beliau memberitahu kejadian Jalur Gemilang yang dipasang terbalik seperti mana dilaporkan media mungkin tidak disengajakan atau tersilap.

“Saya kata apa kena mengena bendera terbalik (Jalur Gemilang) dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong? Saya juga tak suruh pun orang pasang bendera terbalik.

“Saya pun tak salahkan wartawan yang menulis berita berkenaan tapi golongan ekstremis kanan yang sengaja menimbulkan isu,” ujarnya pada sidang akhbar di pejabat beliau, di sini hari ini.

Semalam, Abdul Aziz berkata, tiada undang-undang yang menyatakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik merupakan satu kesalahan.

Sementara itu, Abdul Aziz mencadangkan langkah tertentu diambil oleh kerajaan Persekutuan iaitu mengusulkan undang-undang baharu ke Parlimen khusus berkenaan Jalur Gemilang.

Jelas beliau, akta yang dicadangkan itu perlu untuk menjelaskan bentuk, warna dan cara memasang Jalur Gemilang termasuk menyenaraikan tindakan-tindakan yang dianggap menyalahi undang-undang.

Katanya lagi, walaupun telah ada akta tertentu tetapi ia tidak khusus dan bercerai-cerai lalu seeloknya satu undang-undang tertentu diperkenalkan.

“Perkara yang sama juga perlu dibuat untuk bendera negeri-negeri. Bagaimana pun, oleh kerana perkara ini melibatkan kedudukan dan hak negeri, adalah dicadangkan supaya perkara ini dibawa kepada perhatian Majlis Raja-Raja.

“Langkah sedemikian juga perlu untuk mengelakkan isu-isu remeh terus dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu serta menghentikan tindakan melampau,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE