Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman malah mengatakan hujah Abdul Hadi yang mengatakan golongan muda yang mengundi PH sebagai ‘tidak mengaji agama’ tetapi ‘mengaji dengan telefon bimbit dan media sosial’ itu disifatkan telah menghina kebijaksanaan anak-anak muda.

Syed Saddiq turut beranggapan sikap yang ditampilkan Abdul Hadi tidak menggambarkan kearifan kepemimpinan Pas dalam berdakwah dengan hikmah, sebaliknya sering menyalahkan pihak lain yang lebih mendekati dan membawa perjuangan rakyat.

Berikut merupakan kenyataan penuh Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan:

Menurut laporan di MalaysiaKini, Abdul Hadi mengatakan “Tiga puluh peratus pengudi muda (mengundi PH) yang berumur 21 tahun yang tak mengaji kitab, (tidak) mengaji agama, (tapi) mengaji dengan telefon bimbit, mengaji dengan Facebook, mengaji dengan WhatsApp.

“Kefahaman (mereka) dalam masa singkat, dengan WhatsApp, (kemudian) membuat sikap politik,”

Bagi saya, ini menunjukkan tahap tarbiah Islam Pas telah gagal.

Kelemahan ini adalah kelemahan mereka sendiri, tetapi anak muda dan teknologi yang dijadikan kambing hitam oleh ulama-ulama Pas.

Sikap ini tidak menggambarkan kearifan mereka dalam berdakwah dengan hikmah, sebaliknya sering menyalahkan pihak lain yang lebih mendekati rakyat dan membawa perjuangan rakyat.

Kata Abdul Hadi lagi, “Politik bukan kajian dua tiga minit (tetapi) untuk beberapa tahun akan datang, akhirnya (mereka) membuat keputusan yang salah,”

Saya bersetuju dengan pandangan Abdul Hadi bahawa politik bukan kajian 2 hingga 3 minit, sebaliknya politik adalah hal ehwal dasar dan agenda yang perlu diperhalusi dengan hujah dan pandangan yang rasional. Ini betul dan saya sokong.

Tetapi, apakah yang Pas dan UMNO tawarkan selama ini kepada anak muda? Mereka hanya menawarkan politik sentimen perkauman dan agama sahaja. Mereka hanya tahu menyalahkan DAP, menyalahkan pengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor (1MDB) dan menyalahkan anak muda yang mahukan politik inklusif.

Atas sikap Pas dan UMNO ini, maka anak-anak muda menjadi muak dan beralih menyokong hujah-hujah politik PH. Ini bukan salah anak muda, sebaliknya pemimpin-pemimpin Pas sendiri yang tidak memahami idealisme dan selera anak muda. Politik sememangnya tentang dasar dan selera semasa. Ini tidak dapat dielakkan oleh mana-mana parti yang mahukan sokongan.

Abdul Hadi berhujah lagi, “Kerana marahkah UMNO, kelambu dibakar; marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Sembilan puluh peratus bukan Islam mengundi PH.”

Mengapa Abdul Hadi begitu marah bila rakyat menolak UMNO? Adakah Abdul Hadi ini ahli seumur hidup parti UMNO? Bahagian mana Marang? Abdul Hadi mengatakan 90 peratus bukan Islam itu mengundi PH. Saya cuba pergi jauh persoalan yang cuba menjurus tentang sentimen perkauman ini.

Soalan objektif dan adil saya kepada Abdul Hadi, adakah dakwaan Abdul Hadi ini bermaksud pengundi bukan Islam yang mengundi PH ini salah kerana mereka mengundi untuk menolak rasuah?

Adakah mengundi untuk menolak rasuah itu hukumnya haram menurut faham agama Abdul Hadi?

Adakah mereka yang mengundi PH untuk menolak kerosakan yang dibuat ke atas Lembaga Tabung Haji, Felda dan institusi negara yang lain ini salah disisi agama atau undang-undang?

Saya merasakan hujah “Anak muda pengundi PH ‘tak mengaji kitab” ini sebagai menghina kebijaksanaan anak-anak muda. Islam ini hikmah tuan guru, Islam ini hikmah… jangan lupa! - UTUSAN ONLINE