Sehubungan itu dalam usaha me­ni­up sema­ngat ‘UMNO Bangkit’, Ahmad Zahid yang menca­tatkan seja­rah sebagai Pre­siden UMNO pertama berucap dalam kedudukan menjadi pembangkang di Par­limen mengga­riskan tujuh teras me­ngandungi 21 langkah bagi menentukan hala tuju UMNO untuk menang dan kembali berkuasa.

Tujuh teras tersebut tegas beliau yang dicapai melalui pemukiman parti baru-baru ini ialah Perlembagaan, Keahlian, Struktur Parti, Perkaderan dan Latihan Penerangan, Teknologi Maklumat (IT), Tawaran Baharu serta Program Tumpuan Institusi Dalam UMNO.

Sambil menyifatkan mereka yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Daga­ngan Dunia Putra (PWTC) sebagai pejuang, Ahmad Zahid berkata: “Jika kita bersatu dan kuat, kita pasti akan bangkit. Jika kita berjaya mendepani landskap politik hari ini, kita akan kembali kukuh.’’

Senada dengan tekad tersebut, Presiden UMNO itu mene­gaskan, parti induk orang Melayu itu tidak perlu membuka keahliannya kepada kaum-kaum lain untuk kekal relevan kerana UMNO tidak pernah menzalimi serta meminggirkan mana-mana kaum.

“UMNO bukan hanya ditubuhkan bagi memenangi pi­lihan raya, tetapi ia adalah sebuah ma­ni­festasi perjuangan berpaksikan kepada agama, bangsa dan tanah air. Perkara ini termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Maka UMNO mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik Me­layu yang ideologinya berbentuk konservatif dan progresif,’’ katanya.

Menyentuh tindakan pe­mimpin-pemimpin UMNO bertaraf wakil rakyat yang meninggalkan parti itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, walaupun mengakui sukar menyekat kumpulan terbabit bertindak demikian tetapi demi menghormati kehendak ahli-ahli yang dikhianati, parti itu mengambil tindakan langkah drastik melalui proses undang-undang.

“Writ saman telahpun dihantar kepada beberapa individu terbabit. Kita menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan mereka juga perlu me­ngosongkan semula kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN). Mereka tidak lagi mempunyai asas mo­ral untuk menjadi wakil rakyat,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan parti-parti pembangkang lain, Ahmad Zahid yang menegaskan, pintu UMNO sentiasa terbuka untuk jalinan kerjasama dengan sebarang parti politik.

“Sudah lama kita melakukan politik ataupun tahaluf siyasi dengan MCA, MIC, MyPPP, PBRS dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN). Namun perlu diterima hakikat, kita akan meneruskan kerjasama dalam Gagasan Pembangkang di atas semangat ta’awun iaitu kerjasama untuk kemaslahatan bersama, tidak terikat dan bebas dengan cara tersendiri,’’ katanya sambil memberitahu BN akan dijenamakan semula.