Ini berbeza dengan pencabarnya, Zakaria Hanafi. Maklumlah calon Barisan Nasional (BN) itu melewati usia belianya dua dekad lalu ketika fungsi te­lefon bimbit sekadar panggilan dan SMS.

Namun, berbaki lima hari, Zakaria sudah selangkah bergelar YB andai populariti laman Facebook dua calon itu jadi ukuran.

Sejak Sabtu lalu, setiap hantaran dalam Facebook Zakaria koman-koman mencecah 300 respons tanda suka. Ada kala­nya lebih 700 seperti gambar beliau bertemu pe­ngundi Cina di Broga malam tadi.

Malah, hantaran gambar aktiviti kempen ‘biasa-biasa’ se­perti ke pasar pagi semalam pun mene­rima 500 tanda suka dan dikongsi 33 kali. Selain Facebook, Zakaria mempunyai akaun Instagram @zakariahanafi_n24 yang juga meriah.

Di pihak Muhammad Aiman pula berbeza, pengikut laman Facebook beliau baru nak cecah 2,000 berbanding Zakaria yang menjangkau lebih 4,300 pengikut.

Mengambil kira hantaran dari Sabtu lalu, gambar calon PH itu mendapat tanda suka kira-kira 200 sahaja paling tinggi. Secara umumnya gambar atau video yang dimuat naik ada yang sekadar 150 tanda suka malah setakat 90 pun ada.

Seperkara lagi, jumlah hantaran juga kurang. Kelmarin misalnya, ada 11 hantaran dalam laman Facebook Zakaria. Carian Twitter atau Instagram Muhammad Aiman juga tidak kelihatan.

Sedangkan pepera­ngan pilihan raya kini tertumpu dalam talian. Telahan popular dalam media sosial tidak semestinya di peti undi dibuktikan PH sebagai salah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Kejayaan menguasai telefon pintar, bermakna kejayaan membentuk persepsi pengundi. Maka, PRK Semenyih yang sedang hangat ketika ini sepatutnya tidak terkecuali walaupun untuk satu DUN kerana impaknya besar.

Tidak tahulah mungkin jentera PH sedang menghasilkan video yang boleh tular sehari dua ini bagi membangkitkan emosi seperti kisah seorang kanak-kanak bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad pada kempen PRU-14.

Jika senario PRU lalu yang mana kemenangan berpihak kepada mereka yang menguasai alam si­ber, Zakaria, 58, atau #Zack4Semenyih berpeluang cerah mengatasi Muhammad Aiman, 30, kecuali PH berjaya lakukan sesuatu.