Wakil UMNO Perak, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah berkata, situasi politik di negara ini menyebabkan tidak ada mana-mana parti politik mampu berdiri sendiri kecuali bergabung.

“Gabungan UMNO dan Pas yang jitu dijangka mampu mengubah semula landskap politik negara kerana gabungan ini menguasai hampir 75 peratus undi masyarakat Melayu Islam dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Wajar kita segera memberi penjelasan dan menepis kekhuatiran sahabat-sahabat bukan Islam terhadap cadangan gabungan ini, kepentingan mereka tetap diambil perhatian selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE