Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail berkata, pihaknya menerima banyak permintaan daripada golongan berkenaan untuk bertemu dengan Presiden parti bagi mendapatkan penerangan terperinci tentang perancangan masa depan mereka khususnya peneroka yang dihimpit masalah kewangan.

Katanya, dalam kunjungan kali pertama Anwar ke Terengganu selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan pada November tahun lalu, beliau dijadualkan merasmikan Pejabat PKR negeri di Bukit Besar di sini pada pukul 12 tengah hari.

Kemudian program diteruskan dengan pertemuan dengan kepemimpinan PKR negeri dan sayap-sayap di bilik mesyuarat utama di lokasi sama dari pukul 2 petang hinggga 3.30 petang sebelum perjumpaan dengan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) Terengganu selepas itu.

"Barangkali ini peluang ahli untuk mendengar sendiri perancangan dan nasihat beliau. Beliau tahu keadaan di Terengganu yang kritikal dengan isu pengganguran berikutan penawaran kerja yang makin terhad di samping soal kedudukan negeri di bawah kuasa pembangkang, jadi akan ada satu pandangan bagaimana PKR dan PH perlu berperanan.

"Kita menjangkakan akan ada pengumuman mengenai kedudukan terbaharu di peringkat pusat termasuk jawatan disiplin dan isu berkenaan video," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Azan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson kemudian akan bersama-sama dengan anak muda di Dataran Drawbridge di Seberang Takir, Kuala Nerus bagi program penyerahan Jalur Gemilang di samping beramah mesra dengan 10 pasukan bola pantai sebelum bertolak pulang.

Katanya, seramai 300 orang dijangka hadir dalam program itu bagi mempromosikan amalan gaya hidup sihat kepada masyarakat setempat menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan mereka bertepatan dengan bulan kemerdekaan negara.

"Jadi kita menjemput seluruh warga Terengganu sama ada yang dekat atau jauh untuk mengambil peluang bertemu dengan Presiden parti," katanya. - UTUSAN ONLINE