Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaluddin berkata, mengaitkan sejarah tulisan Jawi dengan buku lucah merupakan tindakan yang merendahkan martabat tulisan Jawi sehingga membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia terutama orang Melayu.

“Saya membantah sekeras-kerasnya tindakan YB DAP ini yang seakan sedang bermain api perkauman dan langsung tidak menjaga sensitiviti kaum lain dalam negara berbilang kaum.

“Justeru, saya mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas Ahli Parlimen Kluang ini mengikut Akta Hasutan 1948,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Fairuz mengingatkan Shu Qi supaya memahami maksud Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 berhubung tulisan Jawi dan bahasa kebangsaan.

Katanya, di bawah peruntukan itu jelas menyebut bahawa tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.

“Kenyataan YB Kluang akan meninggalkan kesan luka kepada 20.4 Juta (69.3%) penduduk bumiputera di Malaysia. Sekurang-kurangnya, YB Kluang patut fikir mengenai perasaan 40,345 (42%) pengundi Melayu di Kluang.

“Kenyataan YB Kluang yang menghina tulisan Jawi akan menjarakkan lagi ruang perpaduan antara kaum di Malaysia seperti “menyimbah minyak ke dalam api yqng sedang membara,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE