Lebih tular bila beliau telah enggan mengambil cuti dari jawatan Exco yang disandangnya. Ini sungguh memeranjatkan! Kerana apa? Kerana Exco itu ialah ahli politik Pakatan Harapan (PH) lebih-lebih lagi dari fraksi DAP.

PH dan lebih-lebih lagi DAP adalah parti yang melaung-laungkan Keluhuran Undang-Undang dan itulah salah satu yang diperjuangkan serta termaktub dalam manifesto PRU14 mereka.

Tapi nampaknya slogan tinggal slogan, manifesto tinggal manifesto. Ibarat tin kosong, nyaring bunyinya tapi habuk pun tak ada.

Betul, Exco itu belum melalui proses mahkamah dan seorang tidak bersalah sebelum terbukti bersalah di mahkamah. Tetapi takkan kita lupa? Jerat pastinya tidak lupakan pelanduk. Walaupun kata-kata hikmat Tun M yang "Melayu mudah lupa" tetapi hakikatnya rakyat Malaysia sekarang tak mudah lupa. Apatah lagi di zaman medsos ini.

Pasti kita masih ingat semasa zaman pemerintahan BN dulu, puak puak DAP dan pemimpin pembangkang ketika itulah yang lantang berdegar-degar meminta pemimpin BN untuk cuti dari jawatan yang disandang setelah mereka didakwadi mahkamah atas kesalahan jenayah atau korupsi. Kita turut setuju kerana bagi kita takut tertuduh boleh mempengaruhi atau mengganggu ketika pendakwaan sedang berjalan.

Tetapi kenapa kini berbeza? Kenapa exco ini enggan bercuti sementara. Kedegilan nya mencemarkan imej kerajaan PH. Cakap tak serupa bikin.

Kenapa dia begitu degil? Apakah kerana dah sedap duduk di kerusi empuk? Apakah kerana belum puas menikmati kedudukan yang baru disandangnya? Di mana hiruk pikuk 'Rule of Law' atau keluhuran Undang-Undang?

Ingatnya parti macam Bersatu dan PKR yang macam tu? Tetapi DAP rupa-rupa nya sama aje, 2 x 5, 5 x 2. Pi Mai Pi Mai, tang tu juga. Malah lebih sudu dari mangkok.

Itulah hakikatnya. Pemimpin DAP Perak kenalah nasihatkan Exco tersebut untuk cuti dari jawatan sehingga selesai kesnya di mahkamah. Kalau tak juga dengar juga, pemimpin tertinggi DAP kenalah ambil tindakan arahkan Exco itu bercuti seperti permintaan MB Perak itu. Barulah rakyat hormat terhadap DAP dan kerajaan PH.

Kalau tidak betullah tanggapan rakyat Malaysia terutamanya Melayu yang DAP ini degil dan keras kepala malah ada yang melihat DAP dah besar kepala. Jangan sampai nanti telahan pembangkang yang PH itu didominasi dan didalang oleh DAP jadi realiti.

Kalau itu juga tidak terjadi, maka Majlis Presiden PH atau Perdana Menteri sendiri harus masuk campur untuk menjernihkan semula imej PH yg telah rosak dengan banyak isu titik bengik menteri-menterinya.

Sebenarnya memang susah nak lepaskan jawatan yang disandang. Itu baru jawatan ADUN dan Exco. Belum lagi AP dan Menteri penuh atau Timbalan Menteri. Banyak faedah yang diterima. Ini belum lagi angkut anak pinak, sedara mara menduduki kedudukan penting dalam kerajaan dan agensi kerajaan.

Itulah bila teman kata ada seorang menteri yang kata cukuplah jadi menteri satu penggal, sahabat terus tempelak, mana ada menteri yg cukup jadi menteri satu penggal? Itu mungkin helah dan alasan untuk meraih simpati dan sokongan. Terlalu banyak yang perlu dikorbankan jika beliau tak mau lagi jadi menteri. Tak mungkin beliau sanggup meninggalkan keistimewaan, habuan dan pengaruh TV dikecapi sekarang. Belum pun setahun menjadi menteri, belum pun terbukti hasil kerjanya dah dapat pangkat datuk atau datuk seri.

Tengoklah nanti apa menteri itu benar kata-katanya atau beliau sama saja dengan Exco Perak itu?

Sama-sama kita tunggu!

WaiTee
24 Ogos 19

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.